Sunday, July 26, 2009

Kerana Bahasa Malaysia itu bahasa ibundaku...

Nur Najihah Muhaimin ialah salah seorang daripada tiga pelajar Melayu di negeri Perak Darul Ridzuan yang menyaman kerajaan Malaysia berhubung pelaksanaan Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sekarang beliau dan keluarga tinggal di Britain kerana mengikuti ayahnya yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah (PhD) di salah sebuah universiti terkemuka di sana. Beliau kini sedang belajar di Bishop Gore Comprehensive School, Swansea UK. Ikuti luahan hati Nur Najihah tentang isu PPSMI dan kembali menghijaunya semangat beliau setelah melihat para pejuang bahasa terutamanya Pak Samad kini bangkit berdiri membantah pelaksanaan PPSMI.

Sudah lama saya baca tentang kes ini dari jauh. Awalnya, saya sudah mula bosan bila saya lihat orang Melayu Malaysia seolah-olah tidak ambil kisah akan perjuangan bahasa ini. Namun begitu, paradigma berlaku apabila tiba-tiba orang Malaysia kini tahu perjuangan bahasa tanpa mengira bangsa. Perasaan perjuangan saya kembali hijau. Seribu kata terpendam di atas kertas.

Dari bumi Hamlet, saya sekadar dapat membaca berita tentang ramai tokoh bahasa seperti Pak Samad Said mula bangkit menentang pelaksanaan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Mereka ada demonstrasi di Kuala Lumpur. Pak Samad pun sudah berceramah di Bukit Gantang semasa pilihan raya kecil hari itu.

Kalau saya ada di tanah air tentu saya pergi. Waktu pak cik Hanipa Maidin yang menjadi peguam kami datang ke UK, saya tanya bagaimana cerita kes saman kami. Jawapannya "tidak menggembirakan".

Kadangkala saya rasa bosan menunggu sesuatu yang tak pasti. Ketika arwah embah (atuk) saya masih ada, dia kata hendak datang ke mahkamah jika kes itu dibicarakan. Tuhan sudah memanggil embah namun mahkamah Malaysia tidak pernah memanggil kami. Tetapi sejak akhir-akhir ini saya seronok mendengar cerita tentang isu ini. Sayapun bersemangat balik. Sebab itu, saya tulis surat ini.

Ketika itu saya berumur 15 tahun, saya bersama tiga pelajar dari Perak telah memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia. Isunya tentang dunia pelajar dan pelajaran di sekolah. Ya. Isu Bahasa Inggeris yang digunakan sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Matematik dan Sains. Apabila ayah saya meminta pandangan saya sama ada saya bersedia atau tidak, saya kata OK. Saya sanggup buat.

Ada benarnya inilah antara isu politik yang digunakan oleh pelbagai pihak. Namun saya tidak mahu kami dijadikan bahan eksperimen oleh kerajaan atau pihak tertentu. Bagi saya, tiada masalah bagi mana-mana pihak yang hendak memperjuangkan kebenaran. Saya tidak dipergunakan kerana saya percaya tiada sebab harus saya tolak perjuangan jika ia berasaskan fakta. Apa yang dilakukan oleh saya dan rakan-rakan lain bukanlah sesuatu yang salah. Saya anak bangsa Malaysia dan saya tahu hak anak bangsa Malaysia itu.

Teman-teman sekolah saya ada yang mendakwa saya telah mencemarkan nama baik sekolah. Saya tegaskan, saya tidak punya kepentingan diri tetapi ini kepentingan bersama. Ada juga yang kata saya dipergunakan untuk kepentingan politik. Politik politiklah. Saya juga ada pendirian sendiri. Bukan itu niat saya. Saya sayangkan bahasa dan bangsa saya. Berbagai pihak memberikan sokongan moral. Terima kasih atas sokongan kalian kerana berdiri sama di jalan bangsa dan bahasa kita. Tabik spring!

Hati agak berdebar bila Penolong Kanan sekolah ingin bertemu dengan saya. Beliau mendapat arahan dari pihak Kementerian Pelajaran untuk menyoal siasat budak kecil yang pandai-pandai menyaman kerajaan Malaysia.

Kini saya tinggal di tanah penjajah, belajar bersama warganegara dunia yang lain. Saya belajar bersama orang putih dan bertutur dalam bahasa Inggeris. Saya pernah bercerita dengan guru-guru dan kawan-kawan di sini tentang penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik di Malaysia. Mereka berasa bangga walaupun mereka tidak tahu tentang Malaysia. Ya, tanpa menafikan penggunaan bahasa Inggeris itu sebagai bahasa antarabangsa. Tidakkah ada kekesalan meletakkan bahasa ibunda di tangga kedua di hati pihak kerajaan kerana bersifat zalim terhadap bahasa ibunda kita?

Mafhum firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah terhadap manusia, dan apabila kamu berhukum maka hendaklah kamu menghukum dengan seadil-adilnya." (An-Nisa�: 58)

Banyak sebab yang boleh saya berikan mengapa saya mengambil tindakan menyaman kerajaan. Sila baca dan fikirkan.

Menurut fasal 152 Perlembagaan, Akta Bahasa Kebangsaan (1967) dan Akta Pelajaran (1996), Bahasa Malaysia adalah bahasa pengantar. Maka dengan itu kerajaan sendiri telah melanggari akta itu. Jelas bukan!

Keduanya, Bahasa Malaysia itu bahasa ibunda. Tanpa menafikan keperluan Bahasa Inggeris untuk dikuasai tetapi jangan sampai bahasa ibunda terkorban dan diketepikan. Sedangkan bahasa melambangkan bangsa! Lagipun di Jepun, China, Jerman, Perancis, dan juga orang Welsh di UK, masih menutur bicara dalam bahasa ibunda mereka. Sedangkan mereka adalah antara negara maju!

Jerman, negara pengeluar kereta tetap maju meskipun tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar mereka di sekolah. Perdana Menteri Jepun dan Turki sendiri pun tidak menguasai Bahasa Inggeris. Namun Erdogan, Perdana Menteri Turki hebat saja bicaranya menentang Perdana Menteri Israel dalam bahasa Turki.

Kasihan dan simpati untuk mereka yang duduk di pedalaman yang mungkin banyak kekurangan berbanding dengan sekolah di bandar. Bahasa Malaysia pun belum tentu boleh dapat A, inikan pula hendak menggunakan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Ada juga guru turut menentang dalam "kata-kata yang agak terhad" kerana pihak kerajaan berkemungkinan akan mengambil tindakan terhadap kakitangan kerajaan yang menentang apa yang kerajaan buat. Ini sesuatu ketidakadilan! Saya mewakili suara hati mereka yang sebenarnya mahu menjeritkan suara keadilan itu. Demokrasikah Malaysia kita?

Guru-guru Matematik dan Sains harus menghadiri kursus khusus bagi mempelajari dan mengajar Bahasa Inggeris. Banyak wang kerajaan terpaksa dibelanjakan demi untuk mengagungkan bahasa penjajah itu.

Di sekolah Cina, mereka belajar dalam dwibahasa. Setelah selesai pembelajaran dalam Bahasa Inggeris, mereka akan belajar dalam Bahasa Mandarin pula. Ini tak adillah.

Saya ada hak untuk bersuara kerana saya antara mangsa dasar itu. Saya anak Malaysia. Maka ini adalah hak saya sebagai pelajar dan juga hak mereka yang bergelar pelajar Malaysia. Saya berada di pihak yang benar. Saya tidak memalukan sekolah seperti didakwa segelintir teman-teman sekolah.

Oleh itu, saya mendesak pihak kerajaan agar menukar balik dan mengambil kira tindakan seadilnya terhadap isu ini. Dayuslah jika kita membiarkan suara anak Malaysia yang berhak itu dinafikan. Kecuali jika benar anda pekak, bisu dan buta mata hati.

Bahasa adalah jiwa bangsa!- tajdid_


Read more...

Sunday, January 18, 2009

Palestina

Allahu Akhbar

Lindungi lah Umat palastine
Bangkitlah pejuang
Bela lah tanah palastine
Read more...